KECERGASAN
FIZIKAL
Perangkaan perubatan menunjukkan bahawa masyarakat kini telah dinafikan
banyak aktiviti fizikal. Ini boleh menyebabkan keadaan fizikal yang lemah.
Ujian-ujian mudah ke atas kekuatan otot, stamina, kelembutan, koordinasi dan
kemahiran motor asas telah menunjukkan keputusan yang lemah.
Kekurangan aktiviti fizikal boleh
menyebabkan penurunan prestasi paru-paru dan saluran darah tersumbat dengan
kolesterol. Keadaan ini boleh menyebabkan ketidakupayaan fungsi seperti masalah
jantung, tekanan darah tinggi, aterosklerosis dan lain-lain masalah pengaliran
darah. Tambahan lemak badan, kemerosotan kekuatan otot badan boleh menjejaskan
postur dan menyebabkan masalah fizikal seperti kecacatan ortopedik. Oleh itu
fizikal harus dirangsang. Aktiviti fizikal harus dijalankan sekurang-kurangnya
30 minit untuk 3 hari dalam seminggu.
Apa
dia Kecergasan Fizikal?
Kecergasan fizikal adalah kemampuan dan kebolehan seseorang melakukan
aktiviti seharian tanpa merasa letih serta masih mempunyai tenaga untuk
melakukan aktiviti kesenggangan.
Definisi kecergasan fizikal:
Falls (1980)
"Kecergasan untuk kesihatan
merangkumi aspek-aspek yang berkaitan
dengan fungsi fisiologi dan psikologi yang dipercayai memberi seseorang
individu perlindungan dari ancaman penyakit-penyakit hipokinetik (kekurangan
pergerakan) seperti penyakit jantung, kegemukan dan berbagai-bagai penyakit
otot dan tulang. Kecergasan untuk prestasi pula merujuk kepada fungsi-fungsi
dan keupayaan seseorang itu yang membolehkan beliau bertanding dalam aktiviti
sukan dengan lebih tenaga daya kuasa, kekuatan, daya tahan, kemahiran dan
sebagainya"
Tiap-tiap orang boleh meningkatkan kecergasan fizikalnya hingga ke tahap
maksimum. Untuk mencapai ke tahap
kecergasan ini seseorang harus baik dalam tiap-tiap komponen kecergasan. Program kecergasan fizikal yang seimbang
terdiri dari gabungan senaman yang boleh meningkatkan daya kardiovaskular,
kekuatan otot, ketahanan dan kelenturan.
Terdapat dua komponen utama kecergasan iaitu :
Terdapat dua komponen utama kecergasan iaitu :
Komponen
Kecergasan Kesihatan
Komponen kecergasan kesihatan
melibatkan kecergasan kardiovaskular atau daya tahan aerobik, kekuatan dan daya
tahan otot kelenturan serta komposisi badan.
Komponen Kecergasan Perlakuan Motor
Komponen kecergasan perlakuan motor
melibatkan kelajuan, keseimbangan, koordinasi, kuasa dan ketangkasan yang
diklasifikasikan sebagai kecergasan motor.
Kecergasan Fizikal Berasaskan Kesihatan
i.
Dayatahan Kardiorespiratori
Terdapat situasi di mana seseorang itu mungkin boleh bekerja keras
tetapi ia tidak boleh bekerja untuk masa panjang. Ini disebabkan ia tidak dapat
bekalan tenaga yang cukup. Jantung, darah dan paru-parunya tidak efisien.
Sekiranya darahnya dapat dibekalkan dengan oksigen dengan sempurna dan jantung
kuat untuk mengepam darah itu ke seluruh
badan, maka dikatakan individu itu mempunyai kecergasan dan dayatahan
kardiovaskular.
Dayatahan kardiovaskular merupakan bentuk daya tahan otot khas tertinggi
yang melibatkan terutamanya jantung, saluran darah dan paru-paru. Keupayaan
sistem pernafasan dan sistem pengaliran darah membekalkan sel-sel badan dan
organ-organ di dalamnya dengan keperluan-keperluan oksigen bagi melakukan kerja
untuk jangka masa panjang.
Daya kardiovaskular juga dikenali sebagai kecergasan aerobik, kuasa
aerobik atau dayatahan aerobik kerana komponen kecergasan jasmani ini
melibatkan sistem tenaga aerobik. Kecergasan karsdiovaskular dapat mengawal
penyakit jantung dan kegemukan. Oleh itu pencapaian tahap kecergasan
kardiovaskular yang tinggi adalah amat penting kerana gaya hidup masyarakat
Malaysia kian bertambah sedentari.
Bagi menentukan taraf kecergasan aerobik seseorang ialah dengan
mengambil kadar nadi rehat. Nadi rehat yang rendah menandakan kecergasan
jantung yang baik. Jadual di bawah digunakan untuk mengetahui taraf kecergasan
jantung anda.
Sangat Cergas - bawah 50 denyutan seminit.
Cergas - 51 - 69 denyutan seminit.
Sederhana - 70 - 80 denyutan seminit.
Tidak Cergas - lebih dari 80 denyutan seminit.
ii-
Kecergasan Otot
a) Kekuatan Otot- Manusia hidup bergerak. Pergerakan adalah hasil
kucupan otot. Bila otot kuat, maka penguncupannya juga kuat. Oleh itu otot
mampu mengatasi rintangan atau beban yang dikenakan ke atasnya. Kekuatan otot
membolehkan manusia mengerjakan berbagai-bagai aktiviti. Segala aktiviti ini
dapat dilakukan dengan senang.
- Kebolehan sesuatu otot atau kumpulan
otot-otot mengatasi rintangan bagi
menghasilkan daya (kerja).
- Kuasa kontraksi otot yang maksimum.
- Dinometer atau tensiometer dapat
menentukan daya yang dikeluarkan
oleh kumpulan otot.
b) Daya Tahan Otot - Daya tahan otot ialah keupayaan seseorang melakukan
kegiatan-kegiatan yang membebankan anggota-anggota badan secara berterusan.
Contohnya, pukulan badminton atau tenis
yang berulang-ulang kali memerlukan daya tahan otot tangan.
- Kebolehan sesuatu otot atau kumpulan
otot-otot menghasilkan daya berulang-ulang bagi suatu jangkamasa tertentu atau
otot-otot menguncup untuk satu masa.
c) Kuasa Otot - Kemampuan otot mengeluarkan daya yang maksimum dalam
keadaan eksplosif dalam jangkamasa yang
terpendek sekali.
iii-
Kelenturan dan Kelonggaran
Kelembutan dan Kelenturan tubuh badan
adalah satu komponen kecergasan jasmani yang penting. Kelenturan tubuh badan
dicapai dengan meregangkan otot dan sendi tertentu.
Kelenturan otot dan anggota badan
meningkat apabila suhu badan dinaikkan sedikit. Apabila suhu badan menurun
kemungkinan besar tubuh badan akan kehilangan sehingga 20 peratus
kelenturannya.
Kelenturan tiap-tiap anggota tubuh
adalah spesifik kepada otot dan sendi tertentu, otot dan sendi-sendi untuk
membenarkan pergerakan yang licin tanpa
menghadapi rintangan. Hasil pergerakan biasanya ditentukan oleh panjangnya
otot-otot, ligamen, tendon dan struktur sendi-sendi seseorang itu.
Secara ringkas boleh dikatakan sebagai
kemampuan sendi-sendi tubuh badan bergerak melalui jarak yang sejauh mungkin. Contoh
: Menyentuh jari ke lantai tanpa membengkokkan lutut.
iv-
Komposisi Lemak Badan
Tiga komponen struktur asas yang ada
pada badan ialah lemak, otot-otot dan tulang-tulang. Penentuan isi kandungan
badan menunjukkan peratusan (%) lemak badan yang dibandingkan dengan isi
kandungan otot-otot dan tulang-tulang. Lebihan peratusan lemak dalam badan akan
menimbulkan masalah kegemukan.
Kegemukan, seperti darah tinggi dan anemia
adalah satu simptom bukannya satu penyakit Ia boleh dikatakan satu keadaan di
mana lemak badan seseorang lelaki itu berjumlah 20 peratus atau lebih daripada
keseluruhan berat badannya. Bagi seorang wanita pula, apabila lemak badannya
berjumlah lebih 30 peratus atau lebih daripada keseluruhan berat badannya.
Wanita memerlukan lebih sedikit lemak
badan daripada lelaki. Bagi wanita, peratus lemak badan yang tinggi sedikit daripada
lelaki adalah untuk menyeimbangkannya dengan kadar metabolisma basal yang lebih
rendah. Wanita juga memerlukan kurang kalori daripada lelaki. Purata kadar
lemak badan seseorang lelaki kira-kira
12 - 15 peratus sahaja. Bagi wanita pula ialah kira-kira 22 - 23 peratus.
Terdapat beberapa sebab kegemukan
terdiri daripada sebab biologi, emosi, persekitaran, malas melakukan aktiviti
fizikal dan lain-lain.
KECERGASAN
FIZIKAL BERASASKAN LAKUAN MOTOR
Lakuan motor bolehlah difahamkan
sebagai perlakuan yang berkaitan dengan sistem saraf, iaitu keadaan bagaimana
sistem saraf berfungsi setelah dirangsang. Hasil dari lakuan ini dapat menjadikan
pelakunya berkemahiran. Kemahiran ialah keupayaan membuat sesuatu dalam keadaan
tepat dan sebenar. Bagi seseorang atlet, kecergasan lakuan motor bolehlah
didefinisikan sebagai mempunyai 'Kemahiran Tinggi' iaitu penggunaan tenaga yang
minimum bagi menghasilkan daya (kerja) tetapi hasilnya maksimum.
* pancaindera kepada
saraf kepada otak kepada neuron motor
Terdapat beberapa komponen lakuan
motor yang penting antaranya:
i
- Kuasa
Kuasa adalah kombinasi kedua-dua
kekuatan otot dan kelajuan. Ianya adalah kebolehan individu melakukan suatu
pergerakan pantas (mengecut / explosive) yang kuat dalam jangkamasa yang
singkat dengan kecepatan yang tinggi. Ia adalah hasil kuncupan otot yang kuat
dalam jangka masa yang singkat ianya merupakan gabungan antara kekuatan otot
dan kepantasan kucupan otot.
ii
- Ketangkasan
Ialah kebolehan seseorang melakukan
pergerakan-pergerakan berturutan ke suatu arah yang berbeza seberapa cekap dan
pantas yang boleh. Kebolehan menukar kedudukan di ruang tertentu secara kemas
dan mudah.
iii
- Kelajuan Kepantasan
Adalah kebolehan individu melakukan
pergerakan berturut-turut dengan pantas dalam masa yang singkat mengikut arah.
Kelajuan individu berkait rapat dengan masa tindakbalas dan masa bergerak.
Kelajuan ditentukan dari hasil jarak langkah dan kekerapan melangkah.
iv
- Koordinasi
Ialah keberkesanan dan keseragaman yang
cekap dalam pergerakan tubuh badan seseorang individu. Ianya melibatkan
penyelarasan pergerakan kesemua anggota badan.
- merupakan paduan di antara berbagai-bagai
kebolehan yang disatukan bagi menghasilkan suatu pergerakan yang licin.
- kemampuan / kebolehan menggunakan
pancaindera bersama badan dan mengaitkan dengan mental dalam pergerakan yang
sempurna sebagaimana yang dikehendaki .
- paduan beberapa kebolehan untuk
menjadikan sesuatu kerja / lakuan itu lancar / licin atau keupayaan
menyesuaikan deria dengan otot-otot supaya memperoleh suatu lakuan yang licin,
kemas dan tepat.
v
- Masa Tindakbalas
Merupakan jangka masa yang diambil
untuk bergerak atau bertindak dalam suatu gerakan bagi menghasilkan perbuatan
(kerja) yang menguntungkan.
vi
- Imbangan
Kebolehan untuk mengekalkan keseimbangan
apabila pusat graviti seseorang dan dasar (tapak) menyokong diubah.
a) Imbangan Statik - ialah kebolehan
mengekalkan keseimbangan ketika pusat gravitinya berada setempat.
b)Imbangan Dinamik - ialah kebolehan
mengekalkan keseimbangan ketika pusat graviti diubah. Juga kebolehan mengekalkan
kedudukan badan dalam keadaan teguh semasa melakukan pergerakan atau dalam
keadaan diam.
tq sir..
ReplyDelete